skip to main |
skip to sidebar
Masyarakat Mesopotamia terbahagi kepada 3 kelas. Kelas yang tertinggi
dikenali sebagai amelu atau kanun bangsawan. Kelas kedua ialah mushkinu
(kelas pertengahan) dan yang di bawah sekali ialah hamba abdi. Kelas
atasan terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, golongan agama
(pendeta, paderi atau rahib) dan tentera. Golongan yang paling berkuasa
dalam tamadun Mesopotamia ialah golongan agama. Kelas pertengahan
terdiri daripada pedagang-pedagang, guru, juruwang, ahli nujum, ahli
sains, ahli silap mata, petani dan tukang. Kelas yang paling bawah
merupakan kelas hamba abdi. Hamba abdi telah wujud di Mesopotamia sejak
awal lagi tetapi tidaklah dipandang hina. Golongan hamba ini terdiri
daripada orang tawanan perang, penjenayah, orang yang telah dijadikan
hamba abdi sejak kanak-kanak lagi dan orang tempatan yang dijual beli.
Sekiranya seorang hamba patuh dan setia kepada tuannya, dia boleh
dibebaskan. Hamba abdi boleh berkahwin dengan orang biasa dan apabila
ibu bapa mereka meninggal, anaknya akan dibebaskan. Mereka diberi
keistimewaan tertentu dan boleh membuat rayuan kepada pihak yang
berkuasa tetapi mereka tidak diberi peluang dalam pentadbiran.
Orang dari kelas mushkinu diberi kebebasan dalam semua perkara dan
tidak diwajibkan berkhidmat dalam tentera kecuali bila negeri menghadapi
bahaya ancaman luar. Pergerakan dari satu kelas ke kelas lain adalah
sukar. Orang perempuan tidak dianggap sebagai barang jualan tetapi
dianggap sebagai seorang individu dan warganegara. Dia mempunyai hak ke
atas wangnya sendiri, harta benda suaminya dan ayahnya dan boleh
menjalankan perniagaannya sendiri dan mempunyai hamba abdi sendiri. Jika
dia menguruskan perniagaan suaminya semasa ketiadaan suaminya, dia
berhak menerima sepertiga dari keuntungan yang diperolehi. Sebaliknya,
seseorang yang berhutang boleh menyuruh isterinya menjadi hamba kepada
orang yang memberi hutang tetapi hanya dalam jangka waktu 3 tahun
sahaja.
0 comments:
Post a Comment